.jpg)
Ada dua tujuan saya ke Besut. Pertamanya ialah untuk berhari raya bersama keluarga dan saudara mara di sana memandangkan kedua ibubapa sudah tiada di Pahang. Keduanya untuk meraikan majlis perkahwinan sepupu saya di rumah Mak Teh di Besut.
Senang hati dan gembira kerana dapat berjumpa kembali emak/bapa saudara, adik beradik dan para sepupu di kampung asal saya dilahirkan. Banyak cerita dikongsi, banyak kisah diluah, walaupun saya tidak bersempatan menziarahi semua sanak saudara justeru kekangan masa.
Saya, isteri dan anak-anak juga tidak lupa menziarahi dan mensedekahkan bacaan lazim ayat Quran untuk kedua-dua aruah orang tua yang sudah pergi menemui Allah, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kedua-dua gemulah disemadikan di taman perkuburan di kampung di Besut, walaupun lama menjadi warga Pahang. Pastinya saya dan adik-adik amat merindui masakan gemulah emak seperti kuah kacang nasi impit, ketupat pulut, tapai pulut dan nasi dagang. Aidilfitri 1430 Hijrah ini merupakan tahun pertama merayakannya tanpa emak dan tahun ke-5 tanpa ayah.
Suasana tanah perkuburan bersih dan dilapisi pasir. Bila saya bertanya salah seorang sepupu mengenai kebersihan kubur itu, dia memberitahu bahawa kubur dibersihkan sebelum bulan Ramadhan lalu oleh semua penduduk kampung. Menurutnya, itu merupakan gotong-royong terbesar pernah diadakan untuk mencerahkan halaman kuburan. Alhamdulillah, perpaduan kian teguh walaupun berbeza fahaman politik.

Hari Sabtu, 26 September 2009, saya bertolak ke Kuala Lumpur lebih kurang jam 11.30 pagi dari rumah adik di Rantau Panjang. Tanah Merah dilalui. Sebaik sahaja sampai di satu simpang kanan (terus ke Machang, kiri ke Kota Bahru) menuju ke Kuala Krai, jalan mula sesak. Kena getah! Saya lihat berderetan kereta di atas fly over dari Kota Bahru menuju destinasi yang sama. Bermulalah pemanduan menuju ke Kuala Lumpur yang memakan masa selama 14 jam!
Saudara bayangkan, mahu sampai di persimpangan ke Gua Musang/Kuala Lipis sahaja memakan masa hampir 3 jam. Jalan sesak berlarutan sehingga ke hentian rehat Gua Musang. Saya ingatkan perjalanan ke Kuala Lipis agak lancar. Sangkut juga! Aduhai.

Di sini saya sertakan beberapa peristiwa yang sempat dirakam oleh lensa kamera untuk tatapan bersama.
Untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, tolong buat sebuah lebuhraya. Letihlah memandu selama 12 ke 14 jam. (Pautan khas: Nasi dagang, tapai pulut dan BBQ di Aidilfitri 1429H)

No comments:
Post a Comment