Jumlah minimum pesanan ialah 40 pax (kepala) dan maksimum 500 pax. Kami membuka tempahan untuk kawasan Mantin, Seremban, Senawang, Nilai, Pajam, dan kawasan berhampiran bagi Negeri Sembilan. Manakala Selangor akan merangkumi Beranang, Semenyih, Dengkil, Kajang, Cheras, dan kawasan sekitar. SUMAYYA FOODS & CATERING (sebelumnya dikenali sebagai Lusiana Catering). Tel/WhatApps:016-220 6876

Mengapa saya menceburi bisnes katering (2)?

Sejak boleh berfikir secara matang, memang saya berhasrat untuk memulakan bisnes. Semasa saya masih bekerja di JARING pun, saya sudah memulakan bisnes secara kecil-kecilan dengan diusahakan oleh isteri. Mungkin masa itu bukan rezeki saya lagi untuk berjaya, semua bisnes tersebut tidak menampakkan kejayaan yang diharapkan. Justeru, saya terpaksa menghentikannya.

Kegagalan demi kegagalan bukan faktor untuk saya berputus asa kerana saya tetap teguh mempercayai bahawa rezeki Tuhan ada di mana-mana. Prinsip yang saya pegang ialah usaha, doa dan tawakkal, insyaAllah kejayaan itu akan menampakkan dirinya juga.

Kita manusia kadang-kadang terlupa bahawa setiap kejadian itu ada hikmah yang tersembunyi. Pada mulanya mungkin kita tidak nampak. Namun apabila masa berlalu, pasti kita akan menghargai apa jua kejadian yang telah ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa.

Sebagai hamba Tuhan kita mestilah sentiasa bersangka baik kepada Allah yang telah menjadikan kita sedemikian. Setiap musibah dan cubaan itu adalah sebagai tanda bahawa Allah sayangkan kita, supaya kita dapat mengubah nasib diri sendiri kepada yang lebih baik.

Berbalik kepada kejadian yang menyebabkan saya berhenti bekerja di JARING. Memang banyak dugaan dan cubaan yang menimpa saya sepanjang kerjaya di sana. Pada saat akhir saya di JARING, bukan sedikit saya dihina seumpama ‘bloody stupid’, ‘you deaf or what’, dan lain-lain lagi. Tidak termasuk lagi ada pihak yang suka mengadu domba dan menikam dari belakang. Namun semua itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjaya.

Peristiwa yang menjadi sejarah mengapa saya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja makan gaji ialah begini:
“Kamu ke mana tadi?”, tanya seorang hamba Allah dengan suara tinggi.
“Saya ke surau, solat”, jawab saya penuh yakin.
“Takkan sembahyang sampai setengah jam”, tempelak hamba Allah. “Kau tahu atau tidak, gaji yang kau ambil itu haram. Aku tidak payah mengingatkan kau berkenaan hal ini”, tambah hamba Allah itu lagi.

Saya terkedu tidak berkata apa-apa. Malas untuk melayan hamba Allah itu. Kalau saya jawab, banyak yang boleh saya bongkarkan dan berhujah. Saya mengambil masa setengah jam ke surau kerana terlebih dahulu saya buang air besar, ambil wujud, kemudian solat. Selepas solat saya berwirid. Memang akan mengambil masa setengah jam. Lagipun masa solat itulah saya dapat tenangkan fikiran dengan berdialog dengan Tuhan. Itu pun salah kah?

Saat itu datang ilham dari Allah; sudah tiba masanya untuk saya meneruskan niat memulakan bisnes sepenuh masa. Keesokan harinya saya mengemukakan surat perletakan jawatan.

Saya menyesal? Tidak sama sekali. Kejadian itu walaupun pahit, namun mempunyai hikmah yang besar. Kalau tidak, saya tidak tahu bilakah masanya untuk saya menceburi bisnes sepenuh masa. Saya berkata dalam hati, “Rezeki Allah ada di mana-mana. Rezeki seseorang bukan manusia yang tentukan, tetapi Allah.”

Bersambung…..

No comments:

SUMAYYA FOODS & CATERING.