Jumlah minimum pesanan ialah 40 pax (kepala) dan maksimum 500 pax. Kami membuka tempahan untuk kawasan Mantin, Seremban, Senawang, Nilai, Pajam, dan kawasan berhampiran bagi Negeri Sembilan. Manakala Selangor akan merangkumi Beranang, Semenyih, Dengkil, Kajang, Cheras, dan kawasan sekitar. SUMAYYA FOODS & CATERING (sebelumnya dikenali sebagai Lusiana Catering). Tel/WhatApps:016-220 6876

Pesanan katering mengejut

Dalam menjalani kehidupan seharian, baik dalam urusan rutin atau pun dalam bidang kerjaya yang kita ceburi, kadang-kadang (malah mungkin selalu) kita menerima kejutan. Saya juga tidak terlepas. Beberapa peristiwa yang tidak disangka-sangka terjadi semasa mengendalikan bisnes katering ini.

Pesanan dari universiti


Saya menerima panggilan di telefon bimbit, “Hello, assalamualaikum. Boleh bercakap dengan encik Hizam?”


Saya menjawab,”Waalaikumsalam, saya bercakap.”


“Saya Ishak dari Universiti XYZ. Encik Hizam menyediakan perkhidmatan katering, bukan?”, tanya pemanggil tersebut.


“Ya, boleh saya tolong encik Ishak?”, Tanya saya kembali.


“Pihak kami memerlukan perkhidmatan katering untuk makan malam tahunan di premis kami, pada 12 Januari,” terang encik Ishak.


“Majlis itu lusa, tidak sampai tiga hari lagi. Mengapa lambat membuat pesanan?”, saya mencelah. “Tidak mengapa, kita boleh bincang, insyaallah sempat lagi andai pihak encik boleh pastikan bahawa pihak saya yang dapat projek ini.”


Perbicangan diteruskan melalui telefon. Kata putus dinoktahkan. Saya memberi syarat supaya pihak universiti tersebut menyediakan wang tunai deposit 50 peratus sebagai tanda setuju hari itu juga. Ini adalah sebagai langkah keselamatan bagi pihak katerer.


Pada petang hari sebelum majlis bermula, semasa sibuk menyiapkan meja, sudu-garfu dan lain-lain peralatan untuk majlis makan malam yang akan dihadiri oleh 400 tetamu, saya bertanya kepada host apakah perkara sebenar yang telah terjadi. Persoalan muncul dalam benak saya mesti ada kes tertentu yang membuatkan pihak universiti itu memberi notis agak tergesa-gesa kepada saya. Makan malam tersebut agak besar dan prestij, tambahan pula disediakan empat buah meja VIP dan satu meja VVIP.


Rupanya katerer yang sudah berjanji untuk menyediakan perkhidmatan katering tidak dapat memenuhi permintaan klien di saat-saat akhir lantaran sebab-sebab tertentu. Tidak silap lagi jangkaan saya. Lagi pun sudah rezeki saya dari Tuhan.


Akhirnya klien gembira dengan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh krew saya. Syukur kepada Tuhan.


Notis tidak sampai empat jam


Pada suatu hari, seperti biasa saya bangun pagi walaupun tidak ada pesanan katering pagi itu. Usai solat Subuh, saya bersantai dengan mambaca buku sambil mendengar alunan merdu lagu nasyid dari komputer riba. Alih-alih saya tertidur.


“Bang, ada panggilan telefon dari syarikat ABC. Dia mahu bercakap dengan abang,” kejut cef sambil menghulurkan telefon bimbit kepada saya.


“Assalamualaikum, Hizam bercakap. Boleh saya bantu”, kata saya sebaik sahaja melekapkan telefon ke telinga, sambil menoleh jam di dinding; hampir pukul 10.00 pagi.


“Saya Zetty dari syarikat ABC hendak membuat pesanan makan tengah hari, hari ini. Sempat kah untuk sediakan?” pemanggil menyuarakan hasratnya.


Saya berbincang dengan cef sebentar, bertanya samada sempat untuk memasak. Cef memberi idea, lalu saya kembali bercakap dengan cik Zetty. “Beginilah, pihak saya boleh sediakan menu nasi tomato bersama lauk-lauk, hirisan buah dan air kordial oren. Kalau pihak cik Zetty setuju, saya boleh hantarkan.”


Pihak saya terus memesan ayam, daging, beberapa rempah ratus, buah dan sayur-sayuran yang tidak ada dalam stok dari kedai runcit berdekatan. Cef terus ke dapur untuk menyiapkan apa yang patut.


Lebih kurang 40 minit sebelum makan tengah hari, saya sampai di premis pejabat syarikat ABC. Masa yang cukup untuk saya persiapkan meja dan hidangan. Untuk rekod, ini adalah pesanan kedua dari syarikat yang sama dengan notis terlalu suntuk, iaitu tidak sampai empat jam. Kali pertama saya terpaksa menolak dengan baik lantaran sudah ada pesanan yang mesti saya siapkan.


Akhirnya klien mengucapkan ribuan terima kasih kerana dapat memenuhi pesanan tersebut dan memohon maaf di atas notis yang sangat singkat. Sebenarnya pada hari yang sama, saya memang sudah ada satu pesanan katering makan malam di suatu premis perniagaan bertempat di Jalan Pinang, Kuala Lumpur. Sekali lagi, kalau memang sudah rezeki, tidak ke mana.


Apa yang dapat disimpulkan ialah bagaimana kita mengendalikan masa dan mengawal operasi bisnes secara baik. Seandainya memang tidak boleh memenuhi permintaan klien, katakan secara terus terang dan berhemah. Jangan buat sesuatu sambil lewa bagai melepas batuk di tangga.


Situasi mengejut bagini akan kerap terjadi, sedar atau tidak. Operasi mesti pantas dan tuntas. Adakan perbincangan dengan cef dan buat keputusan yang tidak menyusahkan semua pihak – katerer (dalam kes ini, saya) dan klien. Jangan sekali-kali berani menerima pesanan dari klien, tetapi tidak dapat memenuhi piawai mutu perkhidmatan ketering, seperti makanan disediakan secara tidak sepatutnya dan sampai lewat di premis klien.

No comments:

SUMAYYA FOODS & CATERING.