Jumlah minimum pesanan ialah 40 pax (kepala) dan maksimum 500 pax. Kami membuka tempahan untuk kawasan Mantin, Seremban, Senawang, Nilai, Pajam, dan kawasan berhampiran bagi Negeri Sembilan. Manakala Selangor akan merangkumi Beranang, Semenyih, Dengkil, Kajang, Cheras, dan kawasan sekitar. SUMAYYA FOODS & CATERING (sebelumnya dikenali sebagai Lusiana Catering). Tel/WhatApps:016-220 6876

Showing posts with label About me. Show all posts
Showing posts with label About me. Show all posts

Kembali ke rumah warisan aruah orang tua, bawa balik buah-buahan

Tanggal 18 Julai 2009, saya kembali lagi ke kampung halaman tanah rancangan Felda di Jerantut, Pahang. Pada mulanya saya mengajak rakan-rakan rapat turut serta, tetapi alih-alih saya sendirian memandu. Isteri dan anak-anak menemani emak mertua saya ke Kuala Selangor untuk berubat sakit lututnya.

Rumah lima bilik tinggalan aruah ayah dan mak sunyi sepi sebaik sahaja tiba setengah jam sebelum waktu Maghrib. Adik entah ke mana merayau. Ya, adik bongsu saya menjadi penjaga rumah itu, untuk seketika. Setelah menelefon adik supaya cepat balik ke rumah, saya membersihkan lantai mozaik depan rumah yang agak kotor dengan tahi cicak dan sampah sarap lain. “Ei, budak ini, malas betul hendak menyapu,” runggut saya sendirian.


Kedai minum yang diusahakan
jiran di hadapan sebelah kanan rumah terdengar riuh para makcik bersantai. Entah apa yang diborakkan, riuh macam murai. Teringin juga untuk saya meneguk air batu campur di situ, tetapi mengikut perkiraan saya kedai sudah ditutup kerana waktu Maghrib semakin hampir. “Tidak mengapalah, esok sahaja aku ke sana,” saya bermonolog.

Sebaik sahaja adik
muncul, saya terus mengalas beg sandang menuju dapur rumah. Gelap. Lampu kalimantang dibuka. Melilau saya menyorot sekitar dapur yang luas itu. Ada tiga bahagian dapur yang sudah diubahsuai oleh aruah mak. Bahagian paling depan dinaikkan sedikit sebagai tempat berehat dan menonton TV. Susunan mozaik tersusun indah. Bahagian bawah pula beralaskan tikar getah, dan bahagian ketiga menempatkan dua buah bilik untuk dua orang adik setiap seorang.

Ubahsuai yang agak besar yan
g diselengarakan oleh aruah mak memang cantik. Seingat saya, kami lima beradik sempat menggunakan ruang dapur itu bersama aruah mak semasa sambutan Aidilfitri terakhir tahun lepas. Memang meriah. Tatkala itu semua adik, ipar dan anak-anak saudara ada. Itulah kali terakhir kami meraikan Aidilfitri bersama mak.

Tujuan utama saya ziarah rumah peninggalan orang tua ialah bagi mengutip buah-buahan yang menjadi tahun ini. Rambutan, dokong, manggis dan raja buah, durian. Saya minta tolong adik bongsu supaya kumpul buah durian yang gugur di kebun kecil depan rumah. Dalam masa yang sama, saya ingin membawa adik ke Kuala Lumpur. Kemudiannya pula dia akan dibawa ke Kuala Selangor bagi mengikuti kursus kemahiran jangka pendek di sana. Saya tidak ingat apa nama pusat kemahiran tersebut.


Setelah dua malam saya menginap di rumah agam itu, esoknya saya dan adik mengumpul durian, mengait dan mencantas dahan/ranting rambutan untuk diambil buahnya, memanjat pokon dokong dan memetik manggis serta cempedak. Ditambah dengan pemberian jiran, bonet kereta Proton Waja hanya mampu dimuat dengan anika bentuk dan rasa durian sahaja. Tiga guni sendat dengan empat jenis buah berwarna merah itu. Saya terpaksa letakkan guni-guni rambutan di tempat duduk belakang. Buah-buahan lain saya aturkan supaya tidak rosak.


Memang sendat kereta saya dengan buah-buahan. Bau? Tidak usah cakaplah! Sepanjang perjalanan lebih kurang 3 jam dari Kota Gelanggi Satu, melalui Bandar Tun Abdul Razak (dulu Bandar Pusat Jengka), merentas Temerloh, sehinggalah tiba ke rumah di Ampang, dua tingkap belakang sentiasa terbuka. Fuh! Bau durian dalam kereta mana boleh tahan! Semerbak!


Selepas seminggu ketika entri ini ditulis, ruang dalam kereta Waja itu masih berbau durian. Hahaha!! Memang kau raja buah, wahai durian.


Malam itu juga sebaik sahaja tiba di rumah, saya dan isteri membahagi-bahagikan buah-buah itu kepada jiran-jiran terdekat. Esoknya sambung lagi untuk jiran yang belum dapat. Adik ipar, suaminya, bapa mertua dan anak-anak menggasak durian malam itu juga.


Berkaitan: April dan Mei 2009 yang berbeza


Photobucket

April dan Mei 2009 yang berbeza

Bulan April tahun ini adalah antara bulan dan ketika yang sangat menyedihkan bagi saya dan chef Hana. Walaupun hanya dua kali pesanan katering yang berjaya kami laksanakan, namun masa kami berdua penuh. Sepanjang bulan ini saya terutamanya berada di Besut, Terengganu dan Kelantan selama 14 hari. Dan tahun ini (setakat April 2009), saya terutamanya lima kali berulang-alik ke Besut dan Rantau Panjang, Kelantan.

Di sini saya bagi pihak Lusiana Catering ingin memohon maaf kepada rakan dan klien yang pesanan katering mereka terpaksa ditolak. Ada juga yang sudah confirm terpaksa saya tolak di saat-saat akhir. Maaf saya pohon.


Tanggal 11 April 2009, sekitar 6.45 petang, emak saya menghembuskan nafas terakhir pinjaman Allah di muka bumi ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru, Kelantan (dahulu dikenali sebag
ai Hospital Kota Bahru). Saya iringi jenazah emak yang dibawa ke Besut untuk dikebumikan di sana, berdekatan dengan makam aruah ayah. Alhamdulillah, saya masih lagi waras untuk mensedekahkan bacaan al-Quran dan surah Yasin di sepanjang perjalanan dari Kota Baru, Kelantan ke Besut, Terengganu.

Sepanjang saat-saat akhir aruah emak di h
ospital, saya dan adik perempuan yang tinggal di Rantau Panjang, menjaga emak selama 10 hari. Kami berdua tidur di Hospital Raja Perempuan Zainab II selama itu juga. Sekali lagi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah justeru kerana aruah emak pergi meninggalkan kami lima beradik secara aman dan tenteram. Cukuplah kematian itu sebagai peringatan untuk Mukmin.

Setelah disahkan oleh doktor bahawa emak telah kembali ke negeri kekal abadi, saya mencium dahi emak. Masih terasa hangat tatkala dahi disentuh bibir. Air mata saya bergenang, ditahan dari merembes ole
h kelopak mata. Chef Hana terus keluar dari wad kerana tidak dapat menahan isak tangis. Saya bisikkan kepada aruah emak, “Mengapa cepat sangat emak pergi?”. Subhanallah!

Saudara-mara, bapa dan emak saudara, para sepupu saya dan sahabat-sahabat aruah emak ramai yang mampir menziarahi tatkala emak di hospital.
Termasuk juga lima orang jiran dan sahabat aruah ayah dan emak di Jerantut, Pahang. Ramai orang tua memberi peringatan kepada saya, “Mu jangan bimbang dan risau kerana tidak boleh buat kerja. InsyaAllah, Allah akan gantikan rezeki yang terlepas itu dengan yang lebih baik.” Subhanallah!

Aruah emak
dimandikan, disembahyangkan dan dikafankan di rumah emak saudara di Besut. Sebaik sahaja selesai dikafankan, saya dan adik beradik, para menantu, emak-emak saudara, anak-anak saudara, dan cucu-cucu aruah emak bergilir-gilir menatap dan mencium aruah untuk kali terakhir.

“Selamat jalan, emak. Tunggu saya dan adik-adik di sana. InsyaAllah, anak-anak emak akan kembali bersama di suatu ketika nanti,” bisik saya lantas mencium dahi dan kedua-dua pipi aruah emak. Agak lama tatapan akhir saya itu.


Pada hujung bulan April pula, saya sekeluarga dan adik sekeluarga yang bekerja di Putrajaya pulang ke rumah peninggalan aruah ayah dan emak di Jerantut, Pahang. Di sanalah kami adik-beradik seramai lima orang dididik dan dibesarkan. Tujuan utama ialah untuk membersihkan persekitaran dalaman dan luaran rumah yang sudah emak tinggalkan selama hampir empat bulan semenjak ujian menimpa beliau.

Tibalah bulan Mei 2009. Allah Maha Kaya dan Maha Pembuka.
Itulah sifat yang menjadi milik Allah. Tuhan semesta alam menganugerahkan rezeki kepada saya dan chef tanpa disangka.

Saya memperoleh pesanan katering pada minggu pertama dan kedua bulan Mei; dari 5 hingga 15 haribulan. Selama 9 hari saya berkampung di .My Domain Registry yang terletak di Seri Kembangan, Selangor. Dalam pada itu Lusiana Catering juga menerima tempahan bagi sajian di IMR, Jalan Pahang serta di Bursa Malaysia, Bukit Kewangan, Kuala Lumpur. Dan ada beberapa lagi sebut harga yang masih saya tunggu jawapannya, insyaAllah.


Ingat, saudara dan sahabat, rezeki itu dari Tuhan. Kita hanya berusaha dan seterusnya berdoa. Sudah pasti yang terakhir ialah bertawakal.


(Gambar atas: Emak tatkala masih sihat dirakam di suatu lokasi di Setiu, Terengganu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Inilah rakaman gambar terakhir aruah emak bersama dua orang anak saya.)

Untuk sahabatku, Abang Long

Entri ini saya dedikasikan khas untuk sahabat bernama Abang Long, presiden Kelab Pembaca Alaf21. Sudah agak lama saya tidak menziarahi Abang Long di blognya, novelman.blogspot.com. Hari ini (15 Julai 2008) saya ke sana lagi. Sesungguhnya dalam masa yang tidak berapa lama, sahabat ini sudah mengorak langkah. Satu inisiatif untuk memajukan diri, alhamdulillah. (Gambar kiri: Katering latihan di Cyber Security Malaysia, 14 - 15 Julai '08)

Untuk Abang Long, mari baca kisah saya:


Sebelum memulakan bisnes katering, saya membuka satu gerai menjual nasi lemak. Selang lebih kurang dua minggu, satu lagi gerai, menjadi dua. Tidak sampai sebulan, saya dan isteri membuka gerai yang ke-3. Gerai ‘pacak’ yang pertama saya kekalkan, tetapi yang dua lagi, berubah lokasi beberapa kali. Pernah hendak ‘diangkut’ DBKL, tetapi belum sempat lantaran ada seorang pemuda yang baik hati memaklumkan kepada saya bahawa DBKL buat operasi pada waktu itu.


Isteri saya bangun awal pagi, sekitar 3.30 ke 4.00 pagi untuk menyediakan lauk-pauk nasi lemak, kuih-muih, dan lain-lain menu seperti nasi goreng, mee dan bihun goreng. Ditambah pula nasi lemak yang perlu dimasak dalam jumlah yang banyak kerana untuk tiga gerai ‘pacak’. Kasihan dan terharu dengan pengorbanan isteri!


Isteri saya menyenaraikan barang-barang mentah yang perlu dibeli di pasaraya untuk kuantiti kecil dan saya yang akan ke sana, hampir saban hari. Seminggu sekali kami ke Pasar Borong Selayang untuk mendapatkan bahan-bahan seperti ikan bilis, kentang, tepung dan bawang besar dalam kuantiti yang banyak, misalnya 30 kilogram. Memang meletihkan!

Photobucket
(Katering hari lahir, 14 Jun '08, Cheras.

Selama hampir tiga bulan saya dan isteri bertungkus-lumus berniaga nasi lemak Selepas bulan yang ke-3 (jika tidak salah ingatan), saya memulakan iklan perkhidmatan katering di dua gerai tersebut dan melalui lain-lain saluran (emel, SMS dan blog).

Selama lebih setahun saya dan isteri struggle dalam bisnes. Namun, kami sabar, berusaha dan bertawakal. Alhamdulillah, sekarang ini kami berdua boleh tersenyum. Walaupun kadang-kadang saya dan chef (sudah naik pangkat!) kepenatan, tetapi hasilnya berbaloi.

Photobucket
(Katering latihan di Cyber Security Malaysia, 14 - 15 Julai '08)
Photobucket
(Katering hari lahir, 14 Jun '08, Cheras)


Pegangan saya? Bukan manusia yang menentukan rezeki seseorang, tetapi Allah. Usaha, doa dan tawakkal, insyaallah.Tuhan itu sifatnya pengasih, penyayang dan penuh rahmat.

Jenis-jenis katering

Ada pelbagai jenis katering. Ada tertumpu pada masakan sahaja, atau hanya menerima tempahan kuih sahaja, tanpa melibatkan penghantaran atau penyajian di premis pelanggan yang memesan. Ada bisnes katering yang menyediakan makanan berbungkus sahaja, misalnya seribu bungkus nasi beriani dihantar ke majlis keramaian bersama wakil rakyat.

Nota: Jika anda perlukan perkhidmatan katering, sila hubungi saya.


Terdapat bisnes katering yang turut menyediakan khidmat pemasangan khemah, kerusi dan meja. Ada bisnes katering pula tidak menyediakan khidmat pemasangan khemah. Namun katerer itu menggunakan khidmat pihak lain apabila ada permintaan dari pelanggan untuk khemah, kerusi dan meja. Paling maju katerer menyediakan semua; masakan, sajian, penghantaran dan khidmat pemasangan khemah

Jangan lupa, ada bisnes katering halal dan ada yang haram. Kategori halal kerana katerer menyediakan makanan dan minuman halal menurut ciri-ciri Islam, sedangkan kategori haram melibatkan makanan dan minuman haram, seperti arak. Oleh sebab itu, di Malaysia, banyak bisnes katering diceburi oleh orang-orang Islam, terutamanya bangsa Melayu. Terdapat juga bisnes katering yang diusahakan oleh kaum Cina, tetapi menggunakan pekerja atau cef Islam dalam penyediaan makanan.

Katering boleh diselenggarakan dari rumah sahaja atau menyewa ruang kedai. Sekiranya anda bercadang memproses makanan dari rumah, pastikan ruang dapur bisnes katering diasingkan dari dapur peribadi untuk ahli keluarga. Lagipun melaksanakan bisnes katering dari rumah tidak perlukan modal tambahan bagi menyewa kedai. Namun ada juga katerer yang mempunyai restoran dan menyediakan khidmat katering sekaligus. Ikut selera dan fokus masing-masing, juga modal.

Mengapa saya menceburi bisnes katering (2)?

Sejak boleh berfikir secara matang, memang saya berhasrat untuk memulakan bisnes. Semasa saya masih bekerja di JARING pun, saya sudah memulakan bisnes secara kecil-kecilan dengan diusahakan oleh isteri. Mungkin masa itu bukan rezeki saya lagi untuk berjaya, semua bisnes tersebut tidak menampakkan kejayaan yang diharapkan. Justeru, saya terpaksa menghentikannya.

Kegagalan demi kegagalan bukan faktor untuk saya berputus asa kerana saya tetap teguh mempercayai bahawa rezeki Tuhan ada di mana-mana. Prinsip yang saya pegang ialah usaha, doa dan tawakkal, insyaAllah kejayaan itu akan menampakkan dirinya juga.

Kita manusia kadang-kadang terlupa bahawa setiap kejadian itu ada hikmah yang tersembunyi. Pada mulanya mungkin kita tidak nampak. Namun apabila masa berlalu, pasti kita akan menghargai apa jua kejadian yang telah ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa.

Sebagai hamba Tuhan kita mestilah sentiasa bersangka baik kepada Allah yang telah menjadikan kita sedemikian. Setiap musibah dan cubaan itu adalah sebagai tanda bahawa Allah sayangkan kita, supaya kita dapat mengubah nasib diri sendiri kepada yang lebih baik.

Berbalik kepada kejadian yang menyebabkan saya berhenti bekerja di JARING. Memang banyak dugaan dan cubaan yang menimpa saya sepanjang kerjaya di sana. Pada saat akhir saya di JARING, bukan sedikit saya dihina seumpama ‘bloody stupid’, ‘you deaf or what’, dan lain-lain lagi. Tidak termasuk lagi ada pihak yang suka mengadu domba dan menikam dari belakang. Namun semua itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjaya.

Peristiwa yang menjadi sejarah mengapa saya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja makan gaji ialah begini:
“Kamu ke mana tadi?”, tanya seorang hamba Allah dengan suara tinggi.
“Saya ke surau, solat”, jawab saya penuh yakin.
“Takkan sembahyang sampai setengah jam”, tempelak hamba Allah. “Kau tahu atau tidak, gaji yang kau ambil itu haram. Aku tidak payah mengingatkan kau berkenaan hal ini”, tambah hamba Allah itu lagi.

Saya terkedu tidak berkata apa-apa. Malas untuk melayan hamba Allah itu. Kalau saya jawab, banyak yang boleh saya bongkarkan dan berhujah. Saya mengambil masa setengah jam ke surau kerana terlebih dahulu saya buang air besar, ambil wujud, kemudian solat. Selepas solat saya berwirid. Memang akan mengambil masa setengah jam. Lagipun masa solat itulah saya dapat tenangkan fikiran dengan berdialog dengan Tuhan. Itu pun salah kah?

Saat itu datang ilham dari Allah; sudah tiba masanya untuk saya meneruskan niat memulakan bisnes sepenuh masa. Keesokan harinya saya mengemukakan surat perletakan jawatan.

Saya menyesal? Tidak sama sekali. Kejadian itu walaupun pahit, namun mempunyai hikmah yang besar. Kalau tidak, saya tidak tahu bilakah masanya untuk saya menceburi bisnes sepenuh masa. Saya berkata dalam hati, “Rezeki Allah ada di mana-mana. Rezeki seseorang bukan manusia yang tentukan, tetapi Allah.”

Bersambung…..

Mengapa saya menceburi bisnes katering?

Saya bekerja di MIMOS (www.mimos.my/) dan JARING (www.jaring.my/) selama 11 tahun. Sepanjang kerjaya saya di sana, ia mengumpul banyak kenangan manis dan pahit, masa gemilang dan menurun. Saya memulakan tugas di MIMOS sebagai Penyelidik yang tertumpu kepada tugas-tugas merekodkan kegiatan Penyelidik lain untuk tujuan penulisan dan penerbitan. Apabila JARING dikomersilkan, saya bertukar tugas sebagai eksekutif pemasaran, khusus dalam menyediakan teks-teks bagi tujuan promosi, pemasaran dan penjenamaan.

Selepas itu saya bertugas sebagai Associate Editor bagi majalah internet berbahasa Inggeris, Jaring Internet Magazine. Sejurus selepas versi bercetak majalah ini tamat, saya ditugaskan pula mengendalikan versi dalam talian (versi internet sepenuhnya) majalah berkenaan, sehinggalah hayatnya juga tamat. Jawatan terakhir saya ialah ketua unit bagi salah satu unit dalam bahagian Komunikasi Jenama dan Pemasaran.

Mengapa saya beralih angin menceburi bisnes katering? Nanti saya ceritakan. Tetapi amaran saya, mungkin ada orang yang tidak menyukai cerita saya ini.

SUMAYYA FOODS & CATERING.